Thursday, June 4, 2009

Ayahanda Tercinta.

12 Julai 2009 ini tarikh lahir sebuah bintang yang telah berjasa pada bangsa dan negara tetapi sudah pulang ke Rahmatullah demi panggilan Illahi yang lebih menyayanginya. Lebih lama saya menjiwai karya-karyanya, lebih kukuh kepercayaan saya pada idealisme beliau yang menuntut keadilan untuk semua : manusia, bumi, tanahair, alam, haiwan dan segala tumbuh-tumbuhan. Cintanya yang mendalam juga pada Tuhan Yang Maha Esa. Beliau seorang yang kelakar tetapi lebih di kenali sebagai seorang yang sinis melalui karya-karyanya, yang lebih ketara di dalam puisi-puisinya yang menyusuk kalbu dan minda. Dia memaksa kita berhenti dan memikirkan tentang kata-katanya, relevensinya pada isu. Paling istimewa tentang beliau ialah cara beliau menulis dan mengusik jiwa pembacanya hingga tertanam seribu macam rasa yang indah, yang marah, yang pilu, yang sinis, yang terapung-apung dan berbagai mengikut citarasa dan keadaan. Itulah ayah yang ku rindu teramat sangat. Tiada dua atau tiga, hanya kau seorang.

Aku rasa keseorangan walaupun ramai di kelilingku dan tanggungjawab yang berat ini, adakah yang ikhlas membantu kami teruskan perjuangan ini atau biar kami terkubur? Sebutir bintang yang pernah berjasa untuk sebuah bangsa dan negara dan masih berjasa melalui kata-katanya untuk kesedaran kita bersama, membina minda, menjadikan kita manusia yang lebih baik walaupun tidak sempurna kerana sememangnya hanya Tuhan yang sempurna.

Aku rindu masa-masa lampau. Waktu-waktu selalu duduk beramah-mesra, bercerita, bergurau-senda, berbincang tentang berbagai hal...keluarga, teman-teman, politik, apa saja. Tempat ku mengadu, tempat ku beriadah, tempat ku leraikan rindu... bukan lagi di dunia ini. TETAPI semangatnya kuat mengalir dalam jiwaku dan semangat inilah yang menemaniku mengharungi apa jua yang di baling kepada diri ini. Yang kumohon pada Illahi ialah supaya aku dapat dan sempat menunaikan janji untuk memulihara karya-karyanya untuk cucu-cicit dan generasi seterusnya walau bagaimana jua.

Thursday, May 21, 2009

Saya Mohon Maaf

Jika apa yang saya tulis di sini menggores perasaan... mohon maaf
tidak pernah singgah di hati kecil ini
niat jahat untuk menjatuhkan maruah
hanya kritikan membangun yang tidak dapat di terima.

Niat ikhlas untuk membantu tetapi
terkejut dengan tafsirannya yang sangat negatif.
Serik rasa membuka hati.

Selama ini tiada yang tak berpuashati
tangan sama-sama di hulurkan sangat di syukuri
kehadrat Illahi bagi segala kurniaan dan limpahannya.

Supaya tiada yang tergores lagi
biar si biadab ini mengalah dan berundur diri
tidak sanggup duka hiba berlarutan hingga senja.
Halalkan makan dan minum kami sekeluarga.

Oleh itu, terima kasih daun keladi,
lain kali tak payah lagi.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

* Kata P.Ramlee...ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari.

Wednesday, May 6, 2009

Buku-buku UA Enterprises dipasarkan ITNM

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang telah diadakan baru-baru ini menyaksikan acara-acara menarik yang telah diadakan. Pihak ITNM telah mengambil semua buku-buku terbitan UA Enterprises dan juga buku-buku kerjasama UA Enterprises dan ITNM untuk dipasarkan di Pesta Buku tersebut. Untuk pengetahuan umum, ITNM adalah wakil pemasaran buku-buku karya Usman Awang.

Pada 21 April, saya dijemput menghadiri majlis pelancaran buku Barrack Obama oleh Tuanku Raja Nazrin Shah di Hotel Seri Pacific KL. Buku asal bertajuk 'The Audacity Of Hope' telah diterjemahkan ITNM dengan judul 'Keberanian Menggapai Harapan'. Ia adalah sebuah buku yang membuka minda kita.

Saya sempat bertemu sapa dengan Tuanku Raja Nazrin sebelum beliau berangkat. Tuanku Raja Nazrin adalah salah seorang peminat dan kenalan arwah Usman Awang. Tuanku juga adalah tetamu kehormat sewaktu UA Enterprises melancarkan buku pertama kami iaitu 'Tulang2 Berserakan' edisi baru, yang berlangsung di The Actor's Studio di Bangsar pada 30 Julai 2006.

Saya sangat berterima kasih kepada pihak ITNM yang prihatin dengan situasi kami, sebuah syarikat penerbitan kecil yang berjuang untuk berdikari. ITNM memberitahu saya bahawa mereka akan adakan rak buku khas untuk buku-buku ITNM di semua kedai buku MPH. Tetapi dalam keghairahan ITNM untuk terbang tinggi, ada seperkara yang saya ingin ajukan kepada pihak pengurusan. Proses pemasaran buku hendaklah diambil berat dan pihak ITNM harus turun padang dan lihat sendiri keberkesanan proses pemasaran yang sedia ada sekarang. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Hal ini saya ajukan untuk kebaikan ITNM juga. Pada hari Isnin lalu (4hb Mei) saya mengunjungi kedai buku MPH di Subang Parade, Subang Jaya. Semasa disitu saya teringin melihat rak buku ITNM yang mengandungi buku-buku baru Usman Awang. Saya amat terperanjat apabila pekerja disitu mengatakan mereka tidak faham maksud rak buku ITNM. Akhirnya baru saya sedar tidak ada rak buku ITNM sepertimana yang difahamkan.

Saya sedia membantu pihak pengurusan ITNM demi kemajuan sastera melayu yang masih memperjuangkan haknya di bumi sendiri.

Thursday, April 2, 2009

All rights reserved.

I would like to announce that ALL the publishing rights to the works of the late National Laureate, Usman Awang, belongs to his rightful heirs, as of now.

Dewan Bahasa dan Pustaka has recently returned this rights of his main works to his beneficiaries. They are now fully managed by UA Enterprises Sdn. Bhd. From now on, any queries should go through his company.

We would like to thank those who have sincerely supported our cause all this time. I hope this bond that we have will continue as I truly need it to endure this never-ending journey. I have just come to realise that my endeavour now is tougher and harder as I bear this responsibility. I pray for strength and guidance from Allah The Almighty, Ameen.

DBP baru pulangkan...

Alhamdulillah...setelah bertahun-tahun menunggu, akhirnya pulang juga hak penerbitan karya-karya arwah ayah yang mereka pegang selama ini, pulang ke pangkuan kami warisnya. Kami bersukur kehadrat Illahi kerana doa dan impian kami tercapai. Sesungguhnya sabar itu separuh dari iman.

Memang sukar untuk mendapatkannya tetapi atas ketabahan kami dan juga kegigihan peguam kami maka pulanglah hak penerbitan karya-karya Usman Awang kepada kami. Sebenarnya, saya sudah mula kecewa dengan organisasi ini yang arwah ayah telah menaruh harapannya. Mungkin ada benarnya istilah Inggeris ini...'just when you least expected it', terjemahannya...pabila rasanya tiada harapan lagi.

Terima kasih kepada mereka-mereka yang membantu, menyokong dan merealisasikan impian dan harapan kami selama ini. Tugas saya semakin berat tetapi mahu tidak saya ada tanggungjawab untuk memelihara dan memartabatkan haknya. Saya harap kerja saya akan lebih senang dengan adanya mereka yang senantiasa memberi saya semangat dan sokongan yang saya sangat-sangat memerlukan untuk meneruskan perjuangan yang tiada akhirnya ini. Semoga Allah memberi saya petunjuk dan melindungi perjalanan saya, Amin.

Sunday, March 22, 2009

Mereka prihatin dan sedar.

Acara ITNM di MPH Midvalley hari ini memberi persepsi dan kepercayaan yang sebelum ini amat di ragui terhadap struktur kepimpinan negara sekarang. Dalam ucapan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Dato' Saifudin menjelaskan betapa seriusnya mereka dalam hal membaik pulih atau dalam istilah Bahasa Inggeris -' turnaround' masalah masyarakat, pendidikan, ekonomi dan segala masalah negara. Beliau yang juga penulis buku 'Politik Baru/New Politics juga mengatakan bahawa mereka sedar yang mereka telah 10 tahun lambat dalam hal membaik pulih organisasi gergasi yang bernama UMNO ini. Beliau memberi gambaran tentang pembentukan satu institusi politik untuk mengasah dan membentuk politikus yang berkaliber. Di institusi ini pula akan di adakan satu khutubkanah atau perpustakaan kelas pertama, sesuai untuk satu organisasi yang mengurus sesebuah negara. Pada saya, itu satu hasrat yang betul dan bervisi jauh ke hadapan.

Seperti arwah ayah, saya tiada minat dalam politik sebenar tetapi sangat prihatin tentang masalah masyarakat dan keadilan dalam segala aspek. Dalam ucapannya, beliau juga telah mengarahkan beberapa bank dan SME untuk membuka satu ruang untuk pembelaan syarikat kecil seperti kami untuk mencapai hasrat yang di cita-citakan. Saya harap impian saya bagi mendapatkan dana untuk meneruskan penyelidikan mencari dan mengumpul segala karya Allahyarham Usman Awang yang tiada di negara kita akan tercapai jika apa yang di katakan Datuk Saifudin pada saya itu terkota, Insyaallah. Syukur Alhamdullilah pada mereka yang prihatin dan sedar.

Saturday, March 21, 2009

JIWA HAMBA/ENSLAVED SOUL ... SCATTERED BONES

Salam sejahtera. Saya ingin mewarwarkan di sini ... buku-buku baru Usman Awang yang di nanti-nantikan, ia itu ... JIWA HAMBA/ENSLAVED SOUL ... sebuah antologi puisi dwibahasa dari kompilasi baru kami dan SCATTERED BONES... sebuah novel yang di terjemahkan ke Bahasa Inggeris dari satu-satunya novel karya Usman Awang, ia itu, TULANG2 BERSERAKAN akan mula masuk pasaran esok, hari Ahad, 22 Mac, 2009, di MPH, Midvalley Mall, KL. Buku-buku ini adalah terbitan bersama antara UA Enterprises Sdn. Bhd dan ITNM ( Institut Terjemahan Negara Malaysia) berdasarkan projek 'Malaysian Literature Series' untuk pasaran dalam dan luar negara.

Satu pelancaran kempen "Beli Buku ITNM Dan Menangi Hadiah Bernilai RM100,000.00!" akan di lancarkan oleh Datuk Shaifuddin. Acara ini akan di adakan pada jam 11 pagi, di MPH, Midvalley Mall, KL. Semua di jemput hadir. Kita jumpa di sana nanti! Salam manis dari saya.

Oh! Satu perkara yang saya lupa hendak mewarwarkan adalah tentang pejabat baru kami. Oleh kerana kami sangat-sangat memerlukan sebuah ruang pejabat yang dekat untuk mengendalikan segala urusan UA Enterprises, kami telah berpindah pejabat ke alamat berikut :-
No. 2-1, Jalan PJS 10/2, Subang Indah 46000, Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.
Tel: 03-56217612 Fax: 03-56217613