Alhamdullilah, walau apa pun rintangan yang mendatang, kami Insyaallah, masih dapat melaksanakan amanah yang hampir mustahil buat masa sekarang. Semua ini terjadi bukan sahaja dengan kuasa Tuhan Yang Maha Esa tetapi mereka-mereka yang sayang pada seni sastera dan Allahyarham Usman Awang dengan seikhlas hati yang murni tidak mengira bangsa atau agama. Terima kasih tidak terhingga kepada semua yang terlibat dalam projek buku penghormatan Allahyarham Usman Awang ini. Nilai budi anda semua tidak akan di lupakan.
Seorang teman baru saya yang berlainan bangsa dan agama adalah penggerak semangat saya kini. Sungguh tidak di sangka sama sekali. Saya amat terhutang budi kepada insan yang tidak kenal erti 'putus asa' ini. 'Sahabatku' ini telah membuka ruang minda dan persepsi saya dengan lebih luas dan bermakna lagi.
Buku terbaru Usman Awang berjodol "SAHABATKU" dan pada waktu ini, dalam proses siap untuk penerbitan! Juga, satu acara 'Baca Puisi Sasterawan Negara' - A. Samad Said dan Usman Awang akan di adakan di Pasar Seni, Kuala Lumpur, jam 6-9 malam, pada 19 July 2009, sempena Bulan Festival Kuala Lumpur 2009. Butiran dan segala pertanyaan tentang acara tersebut boleh di lanjutkan kepada penganjur dengan melayari :- www.kavyan.blogspot.com / infokavyan@yahoo.com.my / 012-3368142. Pendeklamatur berbagai bangsa dan bahasa di alu-alukan mengambil bahagian. Semua di jemput hadir! Datanglah untuk menyaksikan sesuatu yang berlainan dari kebiasaan. Pasti jiwa anda dahagakan santapan nurani.
Buku baru SN Usman Awang "Sahabatku" adalah sebuah antologi puisi beliau yang mengandungi 6 bahasa - Bahasa Malaysia, Bahasa Tamil, Bahasa Mandarin, Bahasa Kadazan, Bahasa Iban dan Bahasa Inggeris. Hanya 12 puisi di pilih dengan teliti . Puisi-puisi ini mengenal pasti peribadi Usman Awang yang sebenarnya. Oleh kerana impian beliau adalah ...satu hari nanti semua kaum di Malaysia ini bersatu padu...maka saya lanjutkan impiannya dengan menerbitkan sebuah buku penghormatan untuknya dalam 6 bahasa, bangsa Malaysia! Buku 6 bahasa ini adalah yang pertama di Malaysia! Insyaallah, buku ini akan di jual buat pertama kali di acara ini dengan harga yang istimewa.
Insyaallah juga, satu kenduri arwah akan di adakan pada 12 Julai ini, sempena mengingati Allahyarham ayahanda pada hari lahirnya ke 80 tahun, di rumah beliau nanti. Syukur, Alhamdullillah, Amin, Ya Raba'al, Al Amin.