Thursday, July 30, 2009

" Baca Puisi Usman Awang "

Pada pagi yang indah 28 Julai kelmarin, kami berada di Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Kuala Lumpur, atas jemputan Guru Besarnya, Encik Hwong dan pihak lembaga dan pengurusan sekolah untuk mengadakan acara ini, sempena bulan lahir Usman Awang.

Kami di sambut dengan penuh hormat. Acara ini juga di sambut mesra oleh syarikat penerbitan One Nusantara dan Karangkraf dan juga Persatuan Sasterawan Kavyan. Kami dari UA Enterprises sangat terhutang budi atas keikhlasan yang di hulurkan.



Auditorium itu penuh sesak dengan warga sekolah tersebut. Dari tetamu ke pihak pengurusan sekolah, ke guru-guru dan anak-anak murid yang menunggu dengan sabarnya. Kami terharu atas penghormatan yang di beri kepada Usman Awang. Saya teringat pada satu ketika, sewaktu perasmian Sekolah Menengah Usman Awang di Johor Baru.






























Anak-anak yang mendeklamasi puisi-puisi Usman Awang, sangat berbakat. Tidak ketinggalan guru-guru yang juga telah menyumbang semangat dengan bacaan puisi mereka dari antologi puisi yang baru - Sahabatku. Saya kagum dengan persembahan mereka semua, membaca puisi dengan penghayatan dan ekspresi yang baik dan penuh semangat.

Syabas kepada guru-guru, Guru Besar dan semua yang terlibat dalam acara ini, termasuk Encik Chan Yong Sin - salah seorang teman akrab Usman Awang yang juga menjadi penyelenggara dan salah seorang penterjemah Bahasa Mandarin untuk buku "Sahabatku"; Saudara Uthaya Sankar - salah seorang daripada penterjemah Bahasa Tamil untuk buku "Sahabatku", juga seorang teman penulis yang bertanggungjawab atas cetusan cadangan acara ini; Encik Koh Yok Hwa - Ketua Pengarah Gemilang Publishing Group dan anak syarikat beliau One Nusantara yang memeterikan penyelenggaran acara ini.

Seperti acara "Baca Puisi A. Samad Said & Usman Awang" di Pasar Seni pada 19 Julai, acara ini juga benar-benar menyemarakkan perasaan perpaduan yang di impikan Usman Awang. Dan impian murni ini sekarang adalah milik kita bersama.

No comments: