Monday, December 1, 2008

Malam Kenangan Usman Awang

Satu malam kenangan Usman Awang telah dianjurkan Persatuan Persahabatan Malaysia-Cina dengan kerjasama UA Enterprises. Acara tersebut ditaja oleh Hai-O Berhad, di bawah Pengerusinya, Encik Tan Kai Hee. Sepertimana yang telah saya katakan sebelum ini, beliau adalah salah seorang teman akrab arwah ayah yang memberi saya semangat untuk terus hidupkan kembali karya-karya arwah ayah walaupun sudah 7 tahun pemergiannya.

Maaf, saya tak sempat menulis sebelum ini. Maklumlah, seperti biasa, hanya saya dan Rahim yang benar-benar mengendalikan UA Enterprises, jadi agak kelam-kabut juga nak siapkan semua kerja pada satu-satu masa. Alhamdullillah, kami dapat laksanakan semuanya walaupun ada beberapa hal yang tersangkut, kami dapat leraikan.

Sebenarnya, saya tak sangka acara yang dirancang sederhana sahaja dapat membuahkan hasil yang amat mengembirakan saya. Pada mulanya, saya risau kerana ramai tetamu yang tersangkut di jalan Bukit Bintang yang sesak pada malam minggu. Tetamu Kehormat kami, Mr. Gu Jingqi, Political Counsellor, dari Kedutaan Rakyat Cina ke Malaysia, sampai lewat sedikit. Tetapi selepas itu semua berjalan dengan lancar walaupun ada tetamu yang lambat sampai dan ada juga yang tak dapat hadir pada saat akhir. Boleh dikatakan, hampir semua yang hadir pada malam itu adalah rakan, peminat, saudara dan keluarga arwah ayah dan mak. Saya gembira kerana dapat mengumpul mereka semua di bawah satu bumbung untuk menghayati kembali nostalgia dan rindu pada ayah dan karya-karya agungnya.

Pada malam itu, semua yang hadir merasakan satu ikatan terjalin tanpa sempadan.......antara bangsa Melayu, Cina, India, Serani dan lain-lain, oleh kerana kekuatan semangat pendirian ayah yang ditabur dalam karya-karyanya, kami rasa cinta pada semua bangsa, kami rasa sayang pada tanahair, kami rasa sebagai satu...Bangsa Malaysia.......impian ayah.

Di sini saya beri gambaran suasana malam yang penuh kasih itu...


No comments: