Thursday, May 21, 2009

Saya Mohon Maaf

Jika apa yang saya tulis di sini menggores perasaan... mohon maaf
tidak pernah singgah di hati kecil ini
niat jahat untuk menjatuhkan maruah
hanya kritikan membangun yang tidak dapat di terima.

Niat ikhlas untuk membantu tetapi
terkejut dengan tafsirannya yang sangat negatif.
Serik rasa membuka hati.

Selama ini tiada yang tak berpuashati
tangan sama-sama di hulurkan sangat di syukuri
kehadrat Illahi bagi segala kurniaan dan limpahannya.

Supaya tiada yang tergores lagi
biar si biadab ini mengalah dan berundur diri
tidak sanggup duka hiba berlarutan hingga senja.
Halalkan makan dan minum kami sekeluarga.

Oleh itu, terima kasih daun keladi,
lain kali tak payah lagi.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

* Kata P.Ramlee...ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari.

Wednesday, May 6, 2009

Buku-buku UA Enterprises dipasarkan ITNM

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang telah diadakan baru-baru ini menyaksikan acara-acara menarik yang telah diadakan. Pihak ITNM telah mengambil semua buku-buku terbitan UA Enterprises dan juga buku-buku kerjasama UA Enterprises dan ITNM untuk dipasarkan di Pesta Buku tersebut. Untuk pengetahuan umum, ITNM adalah wakil pemasaran buku-buku karya Usman Awang.

Pada 21 April, saya dijemput menghadiri majlis pelancaran buku Barrack Obama oleh Tuanku Raja Nazrin Shah di Hotel Seri Pacific KL. Buku asal bertajuk 'The Audacity Of Hope' telah diterjemahkan ITNM dengan judul 'Keberanian Menggapai Harapan'. Ia adalah sebuah buku yang membuka minda kita.

Saya sempat bertemu sapa dengan Tuanku Raja Nazrin sebelum beliau berangkat. Tuanku Raja Nazrin adalah salah seorang peminat dan kenalan arwah Usman Awang. Tuanku juga adalah tetamu kehormat sewaktu UA Enterprises melancarkan buku pertama kami iaitu 'Tulang2 Berserakan' edisi baru, yang berlangsung di The Actor's Studio di Bangsar pada 30 Julai 2006.

Saya sangat berterima kasih kepada pihak ITNM yang prihatin dengan situasi kami, sebuah syarikat penerbitan kecil yang berjuang untuk berdikari. ITNM memberitahu saya bahawa mereka akan adakan rak buku khas untuk buku-buku ITNM di semua kedai buku MPH. Tetapi dalam keghairahan ITNM untuk terbang tinggi, ada seperkara yang saya ingin ajukan kepada pihak pengurusan. Proses pemasaran buku hendaklah diambil berat dan pihak ITNM harus turun padang dan lihat sendiri keberkesanan proses pemasaran yang sedia ada sekarang. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Hal ini saya ajukan untuk kebaikan ITNM juga. Pada hari Isnin lalu (4hb Mei) saya mengunjungi kedai buku MPH di Subang Parade, Subang Jaya. Semasa disitu saya teringin melihat rak buku ITNM yang mengandungi buku-buku baru Usman Awang. Saya amat terperanjat apabila pekerja disitu mengatakan mereka tidak faham maksud rak buku ITNM. Akhirnya baru saya sedar tidak ada rak buku ITNM sepertimana yang difahamkan.

Saya sedia membantu pihak pengurusan ITNM demi kemajuan sastera melayu yang masih memperjuangkan haknya di bumi sendiri.