Friday, September 26, 2008
Saturday, September 13, 2008
SN A. Samad Said telah email puisi ini kelmarin. Saya pula menghantar puisi ini kepada Nuraina Samad (Kak Ena) sebagai hadiah dari SN Samad Said buatnya sekeluarga. Oleh kerana puisi yang indah ini memberi gambaran tentang ketokohan Pakcik Samad (A. Samad Ismail) yang di sayangi, saya meminta izin Bapak (A. Samad Said) untuk membenarkan saya memaparkan puisi penghormatan khas ini untuk kita sama-sama mengetahui ketokohan beliau. Puisi yang mencerminkan pendirian Allahyarham dari usia muda lagi, baru sahaja di siapkan oleh Bapak. Hayati dan renunglah, fikirkan tentang kewibawaan seseorang yang hidup di zaman yang kita tidak kenal. Sanggupkah kita, orang-orang zaman ini, mengharungi pengorbanan seperti itu?
KE AKHIR SYAIR
(Elegi untuk TS A. Samad Ismail)
Dari awal dekad terjajah
hingga merdeka bermaruah,
harapannya bangat banyak—
terlindung dan berselerak.
Tapi, suaranya kekal satu
tegas pedas, tajam padu.
Di sisi bangsa dan budaya
lidahnya jarang berubah.
Dalam dekad ‘bagero’ bergigi
dan tetahun ‘yesman’ bertaring,
suara beraninya benih menguji,
tinta canggihnya degil bersaing.
Langkah Jepun, hadapi Inggeris,
tekun direnda abjad merdeka;
dirinya sentiasa di pentas satu—
ke akhir hayat pun tetap begitu.
Dia mengirim burung permai
ke angkasa yang bangat keruh;
tintanya sentiasa pesan damai
bisik waras qalbu yang utuh.
Layar kecilnya menguji musim
menampar sebanyak samudera—
kemudinya mengenal iklim
meranum bangsa dan bahasanya.
Hingga akhir lidahnya perkasa,
senyap nyaring, lembut berani;
di tengah teman dan musuh sejarah
dakwatnya hujah berseni.
Dari muda ke puncak dewasa
dirinya terus diranumi hemah.
Dan layarnya kemudi teruji
mencantikkan panji bangsa.
Dan dalam lara ria berganti
bangunnya yakin bertekad
dibebat nasib bangsa berbudi
dikukuh dengan langkah bersukat.
Kini dua abad cemas berganti
batinnya masih waja berperi
tentang gelora bangsa merdeka—
kulit dan isi serta zatnya.
Ia suara gigih dari Timur,
mendecip kemerdekaan berkat—
dirinya tekad pantang berundur,
indah gunung—jauh dan dekat.
Di qudus azan paling syahdu
dalam Ramadan Jumaat sayu
dirinya obor bergilir padam—
setelah nyala penuh beragam.
Tapi, dari awal dirinya tahu
ke akhir syair ia tunggu.
Begitu beda kehidupannya
memaruahi jati diri bangsa.
5—10 September, 2008. A. SAMAD SAID.
Friday, September 5, 2008
Sayang Pakcik Samad
Pakcik Samad adalah nama yang saya panggil Tan Sri Samad Ismail, tokoh wartawan terbesar tanahair kita. Dari ketika saya mengenal dunia ini, Pakcik Samad dan Makcik Midah (arwah isteri yang pertamanya) adalah antara orang2 yang saya mula kenal. Merekalah yang menjodohkan ayah dan mak saya. Oleh itu, dengan semulajadi saya anggap anak2 mereka sebagai abang, kakak dan adek saya, walaupun tiada pertalian darah antara kita.
Jika ada masaalah rumahtangga arwah ayah dan mak, Pakcik Samad dan Makcik Midah akan menjadi abang dan kakak yang meleraikannya. Jika ada apa2 'emergency' atau hal2 lain juga...Pakcik Samad dan Makcik Midah akan membantu kami. Saya dan Kak Ena paling akrab. Waktu sekolah (kami semua bersekolah di Assunta) semua kawan2 kenal kami sebagai 'cousins' kerana kami anggap begitu.
Tiap hujung minggu, saya balek ke rumah kedua saya, ia itu, rumah Pakcik Samad. Di sana, cara penghidupan mereka menjadi sebati dengan saya. Kakak2 saya akan mengajar dan menasihati saya. Dari kecil saya bermain2 dengan Kak Eda, (arwah, meninggal tidak berapa lama dulu kerana kanser payudara, seperti arwah Kak Piah, anak sulong Pakcik Samad) Kak Ena dan Azah. Pakcik Samad seperti ayah, bekerja walaupun hari minggu. Maklumlah, kerja wartawan memang begitu.
Saya ingat lagi....tiap kali dengar kereta Pakcik Samad sampai rumah aje, kami semua lari masuk mandi sebab Pakcik Samad pantang tengok anak2nya kotor-boloh dan comot. Sampai saja dia akan jerit...'Midah! Eh! Maknya mane? Aku dah balek ni' 'Budak2 mane?'
Itulah antara yang saya ingat. Walaupun Pakcik Samad nampak garang, tapi sebenarnya dia begitu prihatin tentang apa saja yang berlaku, terutama sekali anak2nya. Cara dia dan Makcik Midah mengurus anak2 mereka, membuahkan anak2 yang sifat berwibawa dan bertanggungjawab. Saya bersyukur dapat sedikit sebanyak pelajaran dari keluarga yang istimewa ini.
Kalau hari minggu, kami bangun lambat sebab kami suka bangun tengah malam dan 'raid' tempat simpan makanan dan 'curi' biskut dalam tin! Ha! itu dah cerita lain pulak. Pakcik Samad dan Makcik Midah bangun awal. Nanti dengar Pakcik Samad jerit 'Oi! Anak2 dara bangun Oi! Dah siang Dah! Kelangkabut kami bangun dan mandi!
Itulah antara banyak cerita penghidupan keluarga seorang tokoh wartawan yang di segani dan di hormati di negara kita. Pada kakak2, abang dan adek2 saya yang di kasihi, adekmu ini juga rasa kehilangannya amat mendalam. Lyna juga kehilangan...Pakcik Samad Sayang.