Monday, November 22, 2010

Oh Uda...Oh Dara...

Si Uda dan si Dara...
Muzikalmu indah seindah mimpi seribu satu malam
dilahir dari mimpi seorang penyair yang sensitif pada segala perasaan
langsung dipentaskan kepada dunia.

Oh mimpi mereka diatas pentas!
Untuk semua menonton
mimpi si Uda dan mimpi si Dara.

Mereka mahu jadi Uda!
mereka mahu jadi Dara!

Kata-kata indah bersulam lagu mengasyik buaian
alam mimpi dan realiti bersaingan
elok langkah dan gagah pahlawan
budi dan bahasa menyentuh nurani.

Tapi walau seindahmu aku pilu
tiada penyair yang melahirkanmu Uda
tiada penulis yang mengilhamkanmu Dara.

Aku berdiri seorang disini
menatangmu Uda
memikulmu Dara.


Lyna UA
November 2010



Sunday, November 21, 2010

Memoriku.....My Memoirs: Kejar mengejar...

Memoriku.....My Memoirs: Kejar mengejar...

Kejar mengejar...

Sudah setahun saya tidak menulis disini kerana mengejar cita-cita untuk memartabatkan karya-karya arwah ayah. Memang terlalu susah hingga tidak ada ruang waktu untuk bersantai disini. Apabila ada waktu, saya terlalu khusyuk dengan 'facebook'. Walaubagaimanapun, kali ini saya rasa terpanggil untuk menengahkan satu perkara yang saya rasa harus ditegur untuk mengingatkan kita bersama untuk cuba berbuat sesuatu sebelum terlambat.

Kita mengejar dunia lalu dalam kesibukkan kejar mengejar itu, dunia kita sendiri tercicir. Perkara yang saya maksudkan disini ialah keprihatinan kita untuk memartabatkan BAHASA MALAYSIA di merata universiti secara global supaya ia tidak mungkin pupus di mata dunia. Kesedaran ini saya dapati semalam ketika berbual-bual dengan seorang kawan baik arwah ayah, ia itu, Dr. Monique Zaini-Lajoubert dari Perancis yang saya bertemu setahun sekali apabila beliau ke Kuala Lumpur. Saya melanjutkan persahabatan dengan teman-teman arwah ayah dulu kerana minat kami sama dan kemesraan telah terjalin semenjak saya kecil lagi apabila mereka sering bertandang ke rumah kami. Beliau adalah seorang pakar Bahasa Melayu/Indonesia yang juga pakar dalam Jawi di salah sebuah universiti di kota Paris. Tiap tahun Monique akan ke sini mengumpul bahan dan bertemu pakar-pakar Bahasa Melayu di Kuala Lumpur untuk berbagai acara dan berbagai projek bahasa dan terjemahannya. Monique dan pihak universitinya telah cuba berkali-kali untuk mendapatkan pakar Bahasa Melayu kita untuk pergi ke Paris untuk mengukuhkan Bahasa Melayu dengan berbagai acara bahasa. Yang sedih sekali tiada usaha dan dana dari pihak atasan untuk membina Jabatan Bahasa Melayu di universiti-universiti di merata dunia. Jika pihak kerajaan Malaysia berusaha mengikat perjanjian persefahaman memartabatkan Bahasa Melayu dengan pihak kerajaan Perancis dan kerajaan-kerajaan negara lain, bukan sahaja bahasa kita tapi negara kita juga akan mendapat tempat di mata dunia dan sekaligus melengkapkan cita-cita kita mengejar dunia. Pasti kita akan bangga apabila bahasa kita ditutur merata dunia sampai bila-bila!

Memang kita masih ada masalah membangkitkan Bahasa Melayu di negara sendiri tetapi adakah kita akan mengguna alasan ini untuk tidak mengukuhkan bahasa kita supaya tidak pupus di mata dunia? Haruskah kita tunggu sehingga isu bahasa kita selesai baru nak memartabatkan bahasa kita di merata dunia? Saya tidak nampak bila pertikaian tentang bahasa akan selesai di negara ini.

Perkara ini sebenarnya sudah berlarutan terlalu lama dan tidak diberi perhatian yang sepatutnya kerana pihak atasan tidak melihatnya sebagai satu perkara yang penting. Bila agaknya Bahasa Melayu dilihat sebagai satu bahasa yang penting? Bukankah 'Bahasa itu jiwa bangsa'? Hakikatnya, Bahasa Melayu hampir pupus dimata dunia!

Bahasa Indonesia dijaga rapi oleh rakyat dan kerajaan Indonesia. Jauh mungkin mengalami kepupusan dimata dunia. Bagaimana dengan Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia pula? Tidak perlu menuding jari. Pokok pangkalnya tanya pada diri sendiri.