Sunday, October 19, 2008

Cahaya

Putriku Katriyana, Suami - Rahim, Saya, Putraku Taufiq Hidayat


Cahaya demi cahaya
berkilau yang kita hirup dari mata
anugerah keramat demi hidup nikmat
maha agung meresapkan segala rasa
memancar dan menyinarikan, dan
dipancar dan disinarkan.

Teman kami tercinta, demi cahaya
yang tidak tersapa lagi
dengarlah gema dari tiap tingkap hati
dalam kehangatan cinta persahabatan
mendakapmu, bukan atas belas kasihan
tetapi adalah pengertian kemanusiaan mengental
yang menyedari hakikat cahaya dan gelita
sumber segala erti suka dan duka.

Teman kami tercinta
dan tiap mereka dalam barisan gelita ini
kami di sisimu berdiri bersandar harap
bahawa pengetahuan manusia jadi lebih agung
mendekati tingkat mukjizat
dengan seribu kebijaksanaan
menyembuh menyempurnakan kehidupan insan.


Usman Awang
(petikan prolog Tablo Jymy Asmara)
1965



Dari puisi usman awang ini saya mohon maaf kerana sudah agak lama juga tidak membuahkan rasa dan perasaan di sini. Mohon maaf zahir dan batin saya.......selamat menyambut aidilfitri untuk semua. Harap maklum, menjelang tiap bulan Ramadhan, mereka yang gemar kek lapis Sarawak yang saya buat, akan menempahnya dan kerana saya suka membuat kek, saya akan terima tempahan hingga tidak ada waktu untuk ke sini. Maklumlah, kerja-kerja syarikat juga masih berjalan selari tetapi kerana tidak begitu sibuk, maka saya bolehlah membuat kueh!

Melaka -dirumah kakak ipar - Kak Esah dengan adek ipar saya Fuziah dari USM, Penang.


-Keluarga besar Allahyarham Usman Awang & Allahyarhamah Hasnah Den-
Dari belakang : Yamin Usman, Iman Karmylla (cucu), Nur Almaz (cucu), Ariff Budiman (cucu), Nur Alisa (cucu), Taufiq Hidayat (cucu), Katriyana (cucu), Rahim Affandi (menantu), Shahrul Idzwan (menantu), Mohd Khaliq (cucu).
Duduk dari kiri : Normawati (menantu), Saya, Mayawati Usman, Eshal Asra (cucu).


-Kanak budu Usman Awang-
(Di Starbucks)
Katriyana, Nur Alisa, Haziq Al-farra, Nur Almaz, Iman Karmylla, Taufiq Hidayat, Mohd Khaliq, Ariff Budiman.


Meeting waris di Starbucks
Dari belakang : Ariff Budiman, Nur Almaz, Nur Alisa, Saya.
Duduk : Mohd Khaliq, Yamin Usman, Iskandar Usman, Shahrul Idzwan, Mayawati Usman, Iman Karmylla, Normawati.


Pada tahun ini sewaktu menziarahi kubur arwah ayah dan mak, saya terkejut bila melihat keadaan kubur rapat-rapat hingga tidak ada ruang untuk duduk keliling kubur. Orang yang menjaga pun tidak akan menjaga kubur dengan rapi jika tidak menerima upah bulanan sekitar rm50! Saya bertekad menziarah selalu untuk menjaga sendiri kerana tiap-tiap tahun saya beri rm50 untuk menanam pokok yang saya beli, macam-macam alasan yang di beri. Saya sedih.....

Pada 29 November ini, genap 7 tahun ayah pergi. Saya memang merancang nak buat satu hari peringatan, menjemput teman-teman dan saudara-mara ke suatu pembacaan doa dan puisi-puisi beliau jika ada sumber kewangan cukup. Syukur alhamdullilah, pada hari raya kedua, saya dapat berita yang salah seorang teman akrabnya yang berkunjung ke rumah saya, iaitu, Encik Tan Kai Hee, mahu membuat hari peringatan untuk beliau pada hari tersebut dan perlu bantuan kami untuk melaksanakan. Encik Tan Kai Hee adalah di antara teman-temannya yang risau beliau di lupakan oleh masyarakat. Tidak ramai yang berkemampuan untuk berbuat sesuatu dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh berbuat demikian. Saya hanya sedari hakikat ini setelah ayah tiada. Beliau sering membantu saya hingga saya rasa malu sangat untuk meminta bantuan darinya.

Acara itu di namakan 'Malam Kenangan Usman Awang' bertempat di Sky Room, Federal Hotel, bermula jam 6pm hingga 11 malam. Jika ada yang berminat, jemputlah datang tetapi tolong beritau secepat mungkin kerana tempat duduk terhad. Acara istimewa untuk malam itu sedang dalam perancangan. Akan saya warwarkan nanti.

Oh ya! Saya hampir terlupa............katalog buku kami -novel "Scattered Bones" dan "Jiwa Hamba/Enslaved Soul" karya asal Usman Awang dan di terjemah ke bahasa Inggeris, telah pergi ke Frankfurt Bookfair pada malam ahad lepas dengan rombongan ITNM! Mereka akan melancarkan buku komik Dato' Lat - The Kampung Boy- di sana. Sokongan penuh di beri Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein. Ku gembira dan teruja.........harapan semoga semuanya selamat dan berjaya memikat orang-orang di sana! Amin! Doakanlah wahai teman-teman setia.

Kedua-dua buku tersebut, insyaallah akan di terbit oleh pihak ITNM untuk pasaran tempatan pada bulan November ini, jika semua persiapan mengikut jadual. Akan saya warwarkan nanti.

Di sebelah kiri - Encik Mohd. Khair (CEO ITNM), di hujung sebelah kanan - Dato' Wan Hashim Wan Teh (Pengerusi ITNM)...mengapit Dato' Seri Hishammuddin dan Dato' Lat.




Saya menghadiahkan kepada Menteri Pelajaran dua buah buku tiap tajuk yang telah di terbitkan oleh UA Enterprises dulu, ia itu, "Tulang2 Berserakan" Edisi Baru dan "Turunnya Sebuah Bendera". Harap-harap jika Dato' Seri membacanya dan menyedari betapa relevennya buku2 ini untuk anak2 generasi baru menggambarkan rasa keperitan untuk mendapatkan kemerdekaan yang mereka - 'take it for granted'!!!