Sunday, June 29, 2008

Malam Sebutir Bintang Dalam Kenangan...Usman Awang

Tanggal 12 Julai adalah tanggal keramat bagi saya dan adek-adek kerana itulah tarikh lahir arwah ayah kami. Untuk memperingati hari istimewa ini saya telah lama bercadang untuk mengadakan satu acara pembacaan puisi santai dengan teman-teman dan juga peminat-peminatnya seperti arwah ayah dulu kerap mengadakan acara deklamasi puisi begitu.

Rancangan yang pada mulanya 'simple' dan sederhana di tambah dengan doa dan 'fatihah' yang akan di sedekahkan, telah berubah menjadi satu acara yang gilang-gemilang. Mungkin seperti di katakan 'one thing lead to another', inilah yang terjadi. Saya bersyukur kehadrat Illahi kerana jadi juga acara yang pada mulanya kelihatan kabur
dalam segi perancangannya kerana tiada sumber dana untuk membuatnya. Tetapi kini Alhamdullilah kami ada penajaan yang kukuh. Maaf kerana tidak menghebohkan rancangan ini terlebih dahulu kerana terlalu sibuk menyiapkan perancangan untuk acara tersebut dengan penaja utama kami.

Oleh itu, saya akan warwarkan tentang acara tersebut di sini untuk makluman semua.

Pada 12 Julai 2008, jam 8 malam, satu acara bertajuk 'Malam Sebutir Bintang Dalam Kenangan...Usman Awang' akan di adakan di Institut Terjemahan Negara Malaysia. Acara usahasama ITNM dan UA Enterprises ini juga adalah satu majlis 'soft launch' untuk 2 buah buku karya Usman Awang yang telah di terjemah ke bahasa Inggeris dan bakal di terbit bersama.





Buku pertama ialah 'Scattered Bones', terjemahan dari novel 'Tulang2 Berserakan' Edisi Baru, terbitan UA Enterprises Sdn.Bhd. Penterjemahnya ialah Dr. Hasnah Ibrahim. Buku kedua ialah 'Jiwa Hamba/Enslaved Soul. Antologi puisi dwibahasa ini adalah satu kompilasi baru oleh UA Enterprises Sdn. Bhd. Pihak ITNM telah menyahut cadangan kami untuk berusahasama dalam hal penerbitan kedua-dua buku tersebut. Harapan kami agar usaha murni ini akan berterusan demi memartabat dan memelihara berterusan kesusasteraan negara kita.

Pada malam tersebut kami akan memaparkan karya-karya Usman Awang dalam berbagai cara. Kami bukan sahaja akan mengadakan deklamasi puisi oleh teman-teman beliau yang juga tokoh-tokoh sastera Melayu, seperti: SN Dato' A. Samad Said, Sutung Umar RS dan Dinsman tetapi kami juga akan mengadakan acara pembacaan satu bab novel 'Scattered Bones' dan drama sebabak 'Matinya Seorang Pahlawan (Jebat) oleh Dato' Rahim Razali. Ini adalah separuh dari acara-acara yang bakal di paparkan.

Satu press conference tentang acara ini akan di adakan di ITNM pada 2 Julai ini di ITNM. Saya mohon dengan doa agar acara yang saya tidak menyangka sama sekali akan menjadi sebesar ini, akan di limpah restu Yang Maha Esa, Insyaallah.

Sunday, June 15, 2008

Seminar SN Usman Awang - UPM

Satu seminar bertajuk Seminar Kesusasteraan SN Usman Awang akan di adakan di Jabatan Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia pada hari sabtu 12 Julai 2008. Saya di undang oleh Sarjana Tamu selaku pengerusi seminar tersebut, ia itu, Dato' Dr. Ahmad Kamal Abdullah, atau lebih di kenali sebagai Kemala, nama penanya. Undangan untuk membentangkan satu kertas kerja bertajuk 'Usman Awang sebagai Ayah, Ketua Keluarga dan Sasterawan', saya sambut dengan berbagai perasaan.
Persoalannya ialah sejauh mana penceritaan akan saya bentangkan! Saya pernah bercakap tentang Usman Awang pada satu seminar seperti ini di Universiti Sains Malaysia. Tetapi pada waktu itu arwah ayah masih ada. Beliau yang menyuruh saya bercakap tentang dia di seminar tersebut. Arwah ayah tidak dapat hadir kerana terlalu uzur tetapi sebelum saya ke Penang untuk menghadiri seminar itu saya telah membaca apa yang saya tulis kepadanya dan beliau puashati tentang penulisan saya. Kali ini tiada ayah untuk mendengar saya.........

Seminar ini memfokus kreativiti Usman Awang dalam genre Puisi , Cerita Pendek, Drama dan Novel. Oleh kerana pembentangan kertas kerja saya di UPM pada sebelah pagi, maka acara 'Malam Sebutir Bintang Dalam Kenangan' akan di teruskan seperti yang di rancang.

Friday, June 13, 2008

Perkembangan baru.

Sudah lama saya tak dapat menulis di sini.......rindu rasanya. Okay, saya dan Dr. Zawiah (penasihat terjemah B. Inggeris) sudah selesai mempertikaikan soal terjemahan puisi2 untuk buku 'Jiwa Hamba/Enslaved Soul'. Bukan mudah untuk kami putuskan persoalan terjemahan kerana yang ketara bukan sahaja soal lain bahasa maka lain budaya tetapi lenggok dan zaman bahasa itu juga di ambil kira. Sekarang saya sedang mengedit novel 'Scattered Bones' yang Dr.Hasnah Ibrahim terjemahkan. Pada waktu yang sama ada beberapa perkembangan yang sedang berlaku.

Oh! Sebelum itu, baru-baru ini adek angkat (pet brother) saya yang telah lama menghilang (lost contact) telah muncul semula. Saya pun buka balik album lama waktu di Kampus UITM Dungun
dulu. Kelakarnya melihat foto2 yang orang2nya 'slim2', cantik2 dan 'handsome2' belaka! Those were the days! Saya dulu jadi Ketua Kebudayaan, jadi tiap2 semester break kena cari bahan untuk pertunjukkan bila buka semester baru. Adek angkat saya, Fawaz, yang nakal tetapi sangat artistik dan kreatif, selalu tolong kakaknya. Kampus kami dulu di Sura Gate, sungguh indah dan nyaman. Pentas persembahan kami berhadapan dengan Laut Cina Selatan, sangat dramatik. Waktu semester pertama, saya menari tarian Ulik Mayang dengan seniors. Ketika mengulik mayang, laut bergelora malam tu, panggilan pemujaan dalam tarian membuat kami rasa seram sejuk. Banyak memori di sana yang menjadi pengalaman dan pelajaran yang tidak dapat kami lupakan. Alhamdulillah..........kami semua jadi manusia yang berguna!

Yang 'handsome' tinggi lampai di tengah tu......Fawaz.


Untuk projek 'Hari Puisi' anjuran Persatuan Kebudayaan ITM Dungun, penulis Usman Awang, Sutung Umar dan Dinsman dari Jabatan Sastera ,DBP, di undang untuk meraikan acara tersebut.



Perkembangan yang saya maksudkan ialah satu hajat yang saya belum dapat merialisasikan. Saya teringin sangat mengadakan satu acara pembacaan puisi santai, sepertimana arwah Usman Awang suka mengadakan dulu. Oleh kerana tarikh lahirnya akan tiba tidak lama lagi, maka saya bercadang untuk mengadakan acara tersebut pada hari itu. Mesyuarat pertama telah di adakan dan mesyuarat ke 2 akan menyusul minggu depan. Program sedang di atur dan penajaan juga dalam proses. Saya tidak akan menyebut dulu siapa penaja sebab hitam-putihnya belum sampai. Akan saya maklum perkembangan tentang acara ini minggu depan.


Saya ada satu lagi berita gembira buat masa ini! ITNM berminat untuk menolong UA Enterprises Sdn. Bhd., menerbit buku 'Jiwa Hamba/Enslaved Soul dan 'Scattered Bones' yang akan siap untuk di bukukan tidak lama lagi!! Syukur......ada apresiasi dan memahami dengan tulus dan ikhlas.